RSS

Doktor di mana hatimu?

14 Oct

Wrote this 3years back..copy paste sini sebab takut hilang.

.

.

Saman! Itulah perkara pertama yang terlintas dalam benaknya saat itu. Terduduk kaku dia di atas kerusi empuk itu. Jururawat yang menyampaikan berita tadi hanya tersenyum kelat. Hospital yang tadinya hingar bingar dirasakan sunyi bersama dunia yang seolah-olah berhenti berputar.

Dia masih ingat gadis itu. Gadis yang bertudung litup itu hanya tenang saat dirawat. Berkali-kali dia mengingatkan agar memberi rawatan kecemasan pada adiknya dahulu. Dia sangat mengantuk saat itu. Kerja yang berterusan selama 12 jam sangat memenatkannya.

Dari jururawat yang membantunya, dia tahu gadis itu kemalangan jalan raya di simpang empat tidak jauh dari tempat dia bekerja. Motosikal yang diboncengnya hilang kawalan lalu terbabas ke arah bertentangan jalan sebelum terhumban di atas jalan raya. Mujurlah jalan raya agak lengang. Gadis manis dan adiknya itu hanya cedera ringan.

Dia hanya merawat gadis itu. Adiknya yang terpaksa disimen kakinya dirawat Doktor Izwan. Dia bukan sengaja, malah dia arif benar prosedur merawat luka kecil sebegitu. Dia pelajar terbaik semasa di universiti, House Officer yang selalu dipuji melangit kerana kecekapannya dan kini dia Medical Officer yang dikatakan terbaik di hospital itu. Dia cuma lupa bertanya tentang sejarah pengambilan vaksin tetanus gadis itu. Dia juga lupa jalan raya umpama rumah bagi berjuta-juta bakteria.

Dia cuai. Itu sangat dia akui. Peluhnya mula menitis. Dia memejam mata memikirkan jalan terbaik. Lama dia berfikir sehingga dirasakan ada tangan menyentuh bahunya.

“Qaddarallaahu maa shaa’ fa’al.” Ucap pemilik tangan itu.

Dia mahu menangis tetapi ditahan air matanya dari menitis.

“Kalau saya lebih-lebih hati pasti perkara sebegini tidak terjadi.”

“Jangan banyak berkalau-kalau, itukan pembuka jalan kepada syaitan. Dah solat? Kalau belum, jom kita berjemaah. Shift kita pun dah habiskan.”

Dia angguk menuruti langkah Doktor Izwan. Sujudnya kali ini cukup lama. Lama dia tak memiliki perasaan penuh mengharap pada yang Maha Mendengar itu. Kebijaksanaannya buat dia leka, terlupa semua itu anugerah dari-Nya. Doanya juga panjang. Baru terasa dirinya cukup kerdil.

Dia nekad. Walau apapun kesudahan dari perbuatannya nanti, dia rela. Moga sedikit hukuman dunia ini mampu mengurangkan balasan akhirat sana. Dia membiarkan Doktor Izwan memandu tenang menyelusuri jalan raya yang agak lengang. Syukurlah Doktor Izwan sanggup menemankannya. Bukan dia tak kenal doktor berkaca mata tebal itu malah Doktor Izwan kawan baiknya di universiti dulu. Dia masih ingat betapa bersemangatnya dia dan Doktor Izwan mengejar tarbiyah dan mencari mad’u suatu masa dulu. Namun,tuntutan pekerjaan membuatkan dia melupakan dunia yang lama. Dia cuba mengelak dari Doktor Izwan yang cuba mengajaknya kembali aktif dalam amal dakwah dan tarbiyah. Memang dia sudah jauh dan sangat jauh.

Salam yang dihulurnya disambut satu suara halus. Nadanya tidak berubah seperti kali pertama dia mengenali gadis itu dulu. Dia menundukkan pandangan. Jantungnya berdengup kencang. Dia tahu dibalik selimut yang menutupi kaki gadis itu,ada kisah sedih hasil kecuaiannya.

“Doktor Faqih? Terima kasih rawat saya hari tu. Terima kasih datang ziarah saya,” gadis itu akhirnya bersuara.

“Jadi awaklah doktor Faqih? Doktor sedar tak betapa besarnya masalah yang doktor buat. Betapa berdosanya doktor merosakkan masa depan seseorang. Apa hospital yang doktor kerja tu berkira sangat untuk 1 ampoule tetanus toxoid?” Marah seorang lelaki yang dikira itulah doktor yang menguruskan kes gadis itu.
Dia tunduk. Tak mampu dia menegakkan benang yang basah.

“Saya minta maaf. Saya mohon maaf sebanyak-banyaknya kepada cik Farisha. Saya akur dengan apa saja tindakan yang akan cik Farisha ambil. Kalau nak saman saya, samanlah. Yang penting, cik maafkan saya.”

“Saman? Kenapa saya nak saman doktor? Doktor dah bantu saya.”

Dia kaget. Namun cepat dia membuat kesimpulan. Mungkin gadis itu kurang pelajaran, jadi tidak mengetahui komplikasi itu dan ini.

“Tapi saya yang menyebabkan awak macam ni?”

“Tak doktor. Doktor tiada apa-apa kuasa untuk buat saya macam ni. Allah juga yang sedang menguji saya dan mungkin juga sedang menguji doktor. Mungkin saat doktor hilangkan kesakitan saya, saya terlupa yang Allah yang menghilangkan sakit saya, maka Allah datangkan kesakitan yang lain agar saya lebih bersyukur. Alhamdulillah.”

“Tapi saya patutnya lebih berhati-hati. Perkara seperti ini tidak patut berlaku.”

“Seingat saya doktor ada membaca bismillah. Itu yang buat saya yakin dengan doktor. Bismillah kan pembaharuan syahadah kita bahawa kita melakukannya kerana Allah. Mana mungkin orang yang melakukan kerjanya kerana Allah melakukannya dengan main-main.”

Dia terkesima sehingga terduduk. Air mata yang dari tadi ditahannya mula mengalir. Sungguh dia tak pernah lupa mengucapkan bismillah. Tapi itu tidak lebih dari rutin hariannya. Jiwanya sudah tidak lama tersentuh dengan ayat tuhan itu.

“Doktor cakap alhamdulillah saya datang awal ke hospital. Jadi hanya kaki saya yang terpaksa dipotong. Katanya kes ini agak pelik sebab penyebaran bakteria ini dapat dielakkan. Dan bakteria ini katanya boleh buat saya sawan dan boleh kehilangan nyawa. Alhamdulillah saya masih bernafas hari ini. Alhamdullillah.”

“Awak tak takut?”

“Apa untungnya saya takut pada apa yang tertulis untuk saya sebelum saya lahir lagi dan saya yakin ini yang terbaik untuk saya. Allah tak membebankan seseorang melebihi apa yang dia mampukan?”

“Macam mana dengan masa depan awak?”

“Saya yakin ada perancangan yang indah untuk saya jika saya bersabar.”

Dia kagum. Cukup kagum. Gadis itu hanya 20 tahun. Masih belajar, masih banyak yang mahu dikejar dalam hidupnya. Gadis itu akibat kecuaiannya terpaksa melupakan impiannya. Kedua belah kakinya membusuk. Kaki kanannya dipotong hingga ke paras peha. Kaki kirinya dipotong hingga ke bawah lutut.

Gadis itu masih tersenyum dalam tenangnya. Dan dia masih terpaku di situ. Lama dia berfikir hikmah di sebalik takdir Allah untuknya. Dan akhirnya senyuman diukir. Lafaz alhamdulillah diucap. Dia memohon maaf berkali-kali kepada gadis itu. Telefon terus dicapai. Dia perlu merencana masa depan gadis itu. Dan dia perlu kembali berjalan dengan hati kerana hati mungkin mampu menyembuhkan penyakit yang sakitnya lebih pedih dari saat si ibu melahirkan sang bayi.

 
Leave a comment

Posted by on 14/10/2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: